PEMBUKAAN

AHALAN WASAHLAN, SELAMAT DATANG



Kami mengalu-ngalukan pandangan anda terhadap isi kandungan blog ini. Pandangan dan komen yang baik diucapkan ribuan terima kasih.



Mannarmustafa@yahoo.com

Thursday, June 24, 2010

CABARAN PENDIDIKAN ISLAM DI SEKOLAH AGAMA RAKYAT DAN PERSENDIRIAN

OLEH MUHAMMAD NURI BIN MUSTAFA
JURU LATIH GURU-GURU SEKOLAH AGAMA PERSENDIRIAN AMAN KOTA BHARU, KELANTAN

PENGENALAN
Pendidikan adalah satu proses yang berterusan dalam usaha untuk membentuk pola-pola tingkah laku dan sikap tertentu di dalam diri manusia yang dididik. Dalam konteks pembangunan sosio-budaya dan peradaban masyarakat, pendidikan merupakan suatu proses berterusan tanpa sempadan. Pendidikan juga merupakan medan penting di dalam proses pengislahan masyarakat . Pengislahan di sini dilihat dari segi pembangunan dan pembinaan nilai-nilai positif.

Pergolakan dunia masa kini selepas peristiwa 11 september 2001 telah mencemarkan imej Islam dan pendidikan Islam secara langsung. Pihak Barat sanggup mengaitkan sistem pendidikan Islam sebagai medan atau pusat latihan untuk melatih kumpulan pengganas. Masyarakat antara bangsa juga memandang sinis terhadap sistem pendidikan Islam.

Keistimewaan sistem pendidikan Islam ialah kemampuannya untuk melahirkan insan soleh yang memiliki sifat-sifat ijabiah (positif) yang menguasai setiap tindakannya di dalam kehidupan di muka bumi ini. Namun tidak dinafikan sifat-sifat salbiah (negativ) seorang Muslim sering cuba mempengaruhinya. Bagaimanapun, hasil pendidikan Islam yang sepadu meliputi ketiga-ketiga komponen di atas menjadikannya mampu bertindak positif atau menghasilkan tindakan yang positif di dalam keadaan. Sabda Rasullullah s.a.w yang bermaksud:

“Sungguh menghairankan keadaan orang mukmin. Sesungguhnya semua keadaan baik baginya. Tidak ada (keadaan itu) pada orang lain kecuali pada orang mukmin. Jika ia mendapat sesuatu yang menggembirakan dia bersyukur kepada Allah s.w.t, maka yang demikian itu adalah baik baginya. Jika ditimpa kesusahan dia bersabar, maka yang demikian itu adalah baik baginya”.

MATLAMAT PENDIDIKAN ISLAM
“Sesungguhnya kami menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya, kemudian kami turunkan ia ke tempat yang serendah-rendahnya; kcuali orang yang beriman dan beramal soleh”. (at-Tin: 4-6)

Berdasarkan ayat di atas dan berpuluh-puluh ayat yang lain, ada dua aspek keperibadian yang ingindicipta pada manusia. Atau dengan kata lain pendidikan Islam adalah bertujuan untuk mencipta manusia yang beriman dan beramal soleh.
Tujuan pendidikan Islam telah dihuraikan oleh dengan panjang oleh ramai pemikir Islam seperti Ash-Shaibani, Al-Abrashi, Nahlawi, Al-Jammali, Al-Buti, Ibn. Khaldun, Al-Ghazali dan lain-lain (Hassan Langgulung (1997). Menurut Prof. Dr. Muhammad Said Ramadhan Al-Buti, pendidikan Islam mempunyai tujuh matlamat:
1. Mencapai mardhatillah (keredhaan Allah)
2. Meninggikan tahap akhlak di dalam masyarakat berdasarkan aqidah Islam.
3. Menimbulkan kecintaan terhadap Islam dan ajaran-ajaran yang dibawanya.
4. Memelihara bahasa dan kesusateraan Arab sebagai bahasa Al-Quran.
5. Mewujudkan ketenteraman jiwa dan aqidah yang mendalam serta perhambaan yang ikhlas semata-semata kepada Allah.
6. Menghapuskan khurafat-khurafat yang bercampur-baur dengan hakikat ad-Din.
7. Meneguhkan perpaduan tanahair Islam dan menyatukan barisan Islam melalui usaha menghapuskan perselisihan.
Ash-Shaibani pula mengatakan matlamat pendidikan Islam adalah berkaitan dengan tujuan hidup manusia iaitu berbakti kepada Allah s.w.t dan mencari kesepurnaan diri yang merupakan tujuan akhir pendidikan.
Ini bererti, matalamat pendidikan Islam tidak boleh dilihat secra terpisah daripada matlamat Islam untuk menegakkan Syariat Islam sebagai undang-undang yang Kaffah dan berdaulat di atas muka bumi ini.

PERSEPSI MASYARAKAT TERHADAP PENDIDIKAN ISLAM
Dalam pendidikan moden, kurikulum itu tidak lagi terbatas kepada perkara yang diberikan dalam lingkungan sekolah sahaja, bahkan juga meliputi hal-hal yang bersangkutan dengan aspek kehidupan luar sekolah. Sehubungan dengan itu, pendidikan Islam bukannya hanya boleh berlaku di sekolah sahaja malahan juga berlaku di luar sekolah seperti rumah dan kawasan kejiranan.
Berbalik kepada masalah tanggapan masyarakat yang melihat bahawa pendidikan Islam hanya terletak dibahu ahli agama atau guru pendidikan Islam sahaja adalah satu kesalahan yang serius dalam pemikiran umat masa kini. Sebaliknya, ibubapa juga adalah merupakan golongan yang menjadi tunjang di dalam mendidik anak-anak mereka. Dimana pendidikan anak-anak tersebut boleh berlaku sebelum anak itu dilahirkan lagi iaitu kedua-dua orang tuanya melakukan amal soleh serta banyak berdoa kepada Allah s.w.t agar dikurniakan anak yang taat pada Allah serta menyayangi kedua orang tuanya apabila sudah dewasa nati
Sesetengah pengkaji dan pemimpin Negara meletakkan kegagalan pendidikan islam dalam Negara adalah berpunca dari kegagalan guru pendidikan Islam merealisasikan pendidika itu di sekolah. Menurut Ab. Halim Tamuri dan Khadijah Abdul Razak (2003) mengatakan: Tidak dapat dinafikan lagi masalah keruntuhan akidah dan so sial seperti gejala murtad, keruntuhan akhlak, zina, rogol serta kegagalan remaja Islam untuk melaksanakan tuntutan asas sebagai seorang Islam telah menimbulkan pelbagai pandangan dan persepsi di kalangan masyarakat terhadap Pendidikan Islam amnya dan guru-guru Pendidikan Islam khasnya.

Menurut Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dalam akhbar Utusan Melaysia yang bertajuk Bukan Salah Sistem PM: Kelemahan Penyampaian Mata Pelajaran Punca Gejala Sosial (1997) menegur sikap sesetengah guru yang tidak memberi pengajaran menyeluruh kepada murid, sebaliknya hanya menumpukan perhatian mengajar mata pelajaran yang ditugaskan kepada mereka. Sehubungan dengan itu, menurut Perdana Menteri, sistem pendidikan tidak boleh dipersalahkan tetapi sikap guru yang hanya sekadar menyampaikan maklumat mengenai mata pelajaran yang dipertanggungjawabkan ke atasnya sahaja perlu diperbetulkan.
Bagi Mohd. Yusuf (2005) menyatakan bahawa masa guru pendidikan Islam hanya terhad sewaktu masa persekolahan sahaja. Sekiranya amanah ini dilakukan secara satu pihak sahaja, mana mungkin hasil yang kita inginkan itu akan dapat berlaku. Meskipun guru mempunyai tugasan serta bebabanan kerja yang banyak, perkara ini tidak lah menjadi permasalahan besar kerana terdapat pembahagian tugas telahpun dilakukan oleh pihak pentadbiran sekolah. Pendidikan Islam tidak berkesan jika sekolah sahaja yang memberi pendidikan Islam sedangkan keluarga dan masyarakat tidak turut sama membantu atau sebaliknya melakukan sesuatu yang bertentangan dengan pendidikan Islam.

Menurut Shahrim (2006) menyatakan bahawa kejayaan pendidikan Islam bersepadu bergantung kepada pelabagai factor. Usaha ini akan Berjaya sekiranya mendapat sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat. Kesanggupan dan keyakinan ibubapa menghantar anak-anak mereka dididik dalam sistem pendidikan ini (sekolah persendirian) menjadi petunjuk penting untuk menilai mengenai penerimaan masayarakat. Rata-rata permohonan memasuki sekolah-sekolah Islam yang menjayakan sistem pendidikan Islam bersepadu melebihi daripada kemampuan yang ada.

Berdasarkan kenyataan di atas secara tuntasnya, menunjukkan bahawa tugasan mendidik anak bangsa terutamnaya yang bergelar Muslim hendaklah dilakukan secara kolektif iaitu secara bekerjasama antara guru, ibubapa serta masayarakat setempat. Melepaskan tanggungjawab dan membiar masyarakat pelajar terus berglora dengan gejalanya adalah satu kecuaian terhadap pembangunan insan Negara kita juga.


TUDUHAN TERHADAP SAR

Pada hari ini, ada satu tindakan untuk menghancurkan institusi pendidikan Islam dengan tujuan melumpuhkan aqidah, sahsiah dan jati diri umat Islam telah mulai merebak ke negara ini. Tuduhan-tuduhan yang dikenakan terlalu berat walaupun disedari ia merupakan fitnah semata-mata. Sedangkan SAR telah memberikan sumbangan yang besar kepada negara dalam menampung keperluan pendidikan terutama pendidikan agama Islam.

Terdapat sembilan tuduhan yang telah dilemparkan mengenai kedudukan SAR iaitu:
i. SAR tidak mengajar agama Islam yang sebenar;
ii. SAR menyemai sikap membenci kerajaan;
iii. Wang SAR digunakan untuk tujuan politik pembangkang;
iv. SAR tidak dapat melahirkan ilmuan dan bijak pandai masyarakat; v. Pelajar SAR tidak ada masa depan;
v. Guru-guru SAR tidak terlatih;
vi. SAR sarang biak pengganas;
vii. SAR melahirkan banyak masalah sosial, dan
viii. Pelajar SAR tidak ada pemikiran antarabangsa.

Tuduhan tersebut amat tidak munasabah kerana mengikut kajian Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan bersama Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Malaysia pada 1992 ke atas sekolah agama negeri (SAN), sekolah agama rakyat (SAR) dan sekolah agama swasta (SAS)telah mendapati:

i. bahawa guru-guru di SAR terdiri daripada kalangan guru-guru yang berdedikasi, berpegang teguh dengan agama dan bersemangat tinggi untuk memajukan agama dan bangsanya;
ii. SAR telah memberikan penekanan yang tinggi terhadap usaha membenteras masalah keruntuhan moral, mewujudkan suasana kekeluargaan dan mengamalkan sifat persaudaraan yang tulen;
iii. Pengajaran-pembelajaran menekankan pembentukan sifat-sifat mulia, iman dan hukum Allah. Para pelajar diberi kebebasan memilih jurusan pengajian masing-masing terutama dalam pengajian agama;
iv. Guru menjadi contoh teladan yang baik daripada para pelajar dan didapati guru-guru sanggup berkhidmat walaupun kelengkapan sekolah tidak mencukupi;
v. Kebanyakkan SAR mengusahakan sendiri pembangunan fizikal sekolahnya berbanding SAN yang dibantu oleh kerajaan negeri dan mempunyai kemudahan fizikal yang setaraf dengan sekolah kementerian;
vi. SAR didapati amat kurang kemudahan fizikal dan tiada bantuan kewangan;
vii. Pelajar lepasan SAR mempunyai peluang yang lebih luas berbanding lepasan sekolah kebangsaan kerana mereka mempunyai pengetahuan akademik dan agama, selain mengetahui bahasa Melayu, Arab dan Inggeris; dan
viii. Kajian tersebut mencadangkan supaya kerajaan menambahkan peruntukan kepada SAR supaya ia dapat dibangunkan dengan lebih baik.






CABARAN PENDIDIKAN ISLAM DI SAR DAN PERSENDIRIAN

Terdapat banyak cabaran yang hadapi oleh SAR dan sekolah persendirian dalam kemelut pendidikan masa kini. Namun apa yang disenaraikan adalah yang paling menonjol dalam pengurusan pendidikan di sekolah tersebut.

1. Sumber manusia

Pembangunan sumber manusia, khususnya barisan guru yang komited perlulah dilahirkan untuk menerajui proses pendidikan Islam bersepadu. Usaha ini dapat diwujudkan melalui program pendidikan yang komprehensif. Sistem pentarbiahan guru dan pelajar perlu dimantapkan dari masa kesemasa. Guru merupakan murabbi dan tonggak utama, disamping persekitaran dan kurikulum yang baik bagi merealisasikan pendidikan Islam bersepadu. Latihan untuk melahirkan guru pelapis dan tokoh guru mestilah dirangka bagi menjamin kelestarian sistem pendidikan ini pada masa depan. Penglibatan guru dan ibubapa mestilah dilihat sebagai sebahagian dari daripada usaha dakwah juga.


2. Kewangan dan pengurusan

Kewangan dan infrastruktur merupakan faktor utama di dalam pengoperasian sistem pendidikan. Setakat ini SAR dan sekolah persendirian masih bergantung daripada sumber derma bantuan kerajaan. Ketenatan SAR dan sekolah persendirian telah menyebabkan sebahagiannya terpaksa diserahkan kepada kerajaan untuk memanjangkan jangka hayatnya. Keadaan ini telah menyebabkan sebahagian identiti asal SAR atau sekolah persendirian hilang terutamanya kurikulum dan kokurikulum sekolah.

Ditambah pula dengan pengurusan kewangan sekolah yang kurang cekap dan tidak mematuhi kehendak-kehendak pengurusan kewangan, menampakkan kelemahan yang ketara berlaku di SAR dan sekolah persendirian. Menurut Shahrim (2006) menyatakan bahwa dari aspek pengurusan institusi pendidikan mestilah cekap dan efektif. Lembaga pengelola mestilah mampu menyelesaikan segala masalah yang timbul dengan pantas dan berkesan. Bagi Zadatul Akmaliah (1991) pula menyatakan bahawa di samping mendapatkan sumber kewangan untuk pengurusan sekolah, pengetua atau guru besar juga bertanggungjawab penuh untuk merancang, mengurus, mengawal serta menentukan pengurusan kewangan sekolah dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.
Namun apa yang berlaku dalam kajian kes pengkaji (2010) mendapati bahawa malangnya di kebanyakan sekolah (SAR dan persendirian) kerja-kerja mengutip yuran, membuat pembayaran, dan menyediakan akaun sekolah diserah bulat-bulat kepada kerani kewangan, atau bendahari yang dilantik. Ini adalah kerana kebanyakan pengetua atau guru besar sibuk dengan tugas-tugas lain atau kurang mahir dengan kerja-kerja pengurusan dan perakaunan sekolah.

3. Cabaran antara bangsa dan saluran maklumat tanpa sempadan

Dalam era globalisasi dan selepas peristiwa 11 september, imej pendidikan Islam secara umum tercalar dan bersifat negatif. Maka imej tersebut mesti dipulihkan. Imej ini boleh dipebaiki melalui jaringan kerjasama diperingkat antara bangsa dengan pertubuhan dan organisasi Islam. Penerangan mengenai sistem pendidikan Islam mestilah diusahakan melalui media dan persidangan antara bangsa.

Globalisasi yang meruntuhkan tembok pemisah Negara tanpa sempadan seperti yang diungkapkan oleh Neisbitt (1990) menghasilkan suasana baru di dalam sistem perdagangan dan kehidupan. Secara langsung jika ia tidak diuruskan dengan baik tentu akan mengesani pembentukan sahsiah pelajar melalui pengaliran maklumat yang pantas berbentuk positif dan negatif. Apabila keadaan ini berlaku, pengaruh barat melalui penerapan nilai akan terus menular masuk ke dalam masyarakat.

Pengaruh ini akan menjadi cabaran utama kepada pendidikan Islam bersepadu. Kemasukan dana khususnya dari Negara timur tengah akan terus disekat kerana ditafsirkan sebagai usaha untuk membantu pengganas. Inilah hakikat yang sedang dihadapi oleh masyarakat islam seluruh dunia.

4. Kurikulum

Kurikulum pendidikan yang sedia ada perlu diubahsuai supaya ia lebih moden dan bersifat kontemporari selari dengan perkembangan ilmu yang pesat. Pengunaan ICT khususnya bercorak multimedia diperluaskan. Pendekatan P&P pula menarik dan segar untuk membolehkan pelajar berjaya dengan lebih pantas lagi.

Namun begitu dengan perkembangan teknologi maklumat, struktur pendidikan akan menjadi lebih mencabar kerana terpaksa merubah untuk menilai serta menstrukterkan semula secara keseluruhan bagaimana sekolah beroperasi, pendekatan yan digunakan dalam pengajaran serta cara pelajar belajar. Perkara ini harus dilakukan secara berhati-hati agar nilai-nilai agama tidak terjejas walaupun kita inginkan kemajuan setara dengan Negara-negara luar yang sudahpun maju lebih awal dari Malaysia, namun runtuh dari segi akhlak dn moralnya.

5. Penghijrahan guru

Cabaran terbesar kepada institusi pendidikan Islam SAR dan sekolah persendirian juga berkaitan dengan pemindahan guru untuk menyertai sekolah kerajaan melalui sistem J-Qaf. Mereka menerima tawaran yang itu kerana lebih menarik dari tawaran yang diberikan oleh SAR dan sekolah persendirian.

Keadaan ini menjadi cabaran yang sangat ketara bagi SAR dan sekolah persendirian untuk mengekalkan guru yang berpengelaman. Dimana sekolah tersebut terpaksa menawarkan skim perkhidmatan yang kopatetif. Disamping itu pihak sekolah juga melahirkan generasi guru murabbi yang komited dengan perjuangan Islam untuk mereka terus berkhidmat di intitusi berkenaan.



CADANGAN SERTA GAGASAN UNTUK MENGHADAPI CABARAN

Muhammad Naquib Al-Attas menyebut di dalam bukunya mengenai sistem pendidikan yang seharusnya diikuti oleh orang Islam iaitu sistem yang berpaksikan kepada ajaran Islam dengan menjadikan Ar-Rasul s.a.w itu sebagai ikutan terbaik. Antaranya ialah “so the Islamic Universiti must reflect the Holy Prophet in terms of knowledge and right action”. Pendidikan yang terlalu bermodelkan barat hendaklah dikesampingkan kerana Islam juga mempunyai ramai tokoh-tokoh yang berketrampilan dalam bidang pendidikan seperti Ibn. Khaldun yang terkenal dengan teori Malakah.

Guru berperanan untuk membentuk manusia dari segi perwatakan serta penampilannya. Maka dengan sebab itu, seorang guru haruslah memiliki kualiti sebagai guru yang ideal. Guru ideal yang dimaksudkan ialah mapan dan utuh akidahnya serta kepercayaannya kepada Allah s.w.t dalam semua aspek. Mereka mesti mampu menonjolkan peribadi dan perlakuan yang diredhai oleh Allah s.w.t dalam setiap tindak tanduknya. Malah guru ideal selalu bermohon pertolongan dan bimbingan daripada Allah s.w.t dalam menjalankan tugasannya sebagai pendidikan anak bangsa

Jaringan kerjasama antara pengusaha, pelopor dan pejuang pendidikan Islam bersepadu perlu dijalinkan bagi mewujudkan satu gagasan dalam memperjuangkan pendidikan Islam bersepadu. Mereka membina perkongsian starategik dengan badan-badan pendidikan di dalam dan luar Negara untuk kemajuan institusi tersebut. Dalam menonjolkan sistem ini, hubungan mesra dengan media perlu diwujudkan. Media massa sememangnya berperanan penting dalam mencorakkan pemikiran dan pandangan masyarakat. Mereka perlu didekati untuk mendedahkan kejayaan yang dicapai oleh sekolah pentas pendidikan Islam Negara.


KESIMPULAN

Usaha membangunkan pendidikan Islam bersepadu melalui institusi SAR dan sekolah persendirian amatlah mencabar. Namun dengan permuafakatan semua pihak dari kalangan pelajar, guru pentadbir dan ibubapa akan melonjakkan institusi ini diterima dengan baik oleh masyarakat. Perubahan yang bersesuaian dengan keadaan semasa perlu berlaku dalam keadaan yang positif agar tidak terjejas ketulinan pendidikan Islam yang sedia ada.

RUJUKAN

Hassan Langgulung, (1997). Pengenalan Tamaddun Islam Dalam Pendidikan.Kuala Lumpur. Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Syed Muhammad Naquib Al-Attas, (1999). The Concept Of Education In Islam: A Framework Foe An Islamic Philosophy Of Education. Istac, Kuala Lumpur.

Neibit, J & Aburdene (1990). Megatrend 2000. New York, Avon.

Jalaluddin, (1999). Filsafat Pendidikan Islam: Konsep Dan Perkembangan. PT Raja Grafindo, Jakarta.

Mohd. Yusuf Ahmad ( 2005). Pengajian Islam. Um, Kuala Lumpur.

Mahathir Mohamad, (1997). Bukan Salah Sistem PM: Kelemahan Penyampaian Mata Pelajaran Punca Gejala Sosial. Akhbar Utusan Melaysia.

Ab. Halim Tamuri dan Khadijah Abdul Razak (2003). Pengajaran akhlak di sekolah
menengah: Persepsi pelajar-pelajar. Prosiding Wacana Pendidikan Islam (Siri 3):
Antara tradisi dan inovasi. Bangi, Selangor: Fakulti Pendidikan, Univefsiti
KebafigsaanMalaysia.

Shahrim ahmad, (2006). Pendidikan islam bersepadu masa kini: cabaran dan pengukuhan. Risalah pemimpin 7. Jimmedia.

Zaidatol Akmaliah Lope Pihie, (1991), Pentadbiran Pendidikan, Kuala Lumpur Fajar Bakti.
Badan Bertindak Sar Pulau Pinang ( Bara ), (2003). Memorandum Merayu Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-Raja Melayu

No comments:

Post a Comment